GOPENG – Dua terbunuh manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Gopeng berhampiran Taman Changkat Golf pada Ahad.

Dua lagi mangsa mengalami cedera ringan.

Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Wira dengan Toyota Camry itu pada 4.17 petang.
“Berdasarkan pemeriksaan dan maklumat awal di lokasi kejadian, kemalangan itu membabitkan lima mangsa, dua lelaki mati di tempat kejadian, seorang wanita cedera parah manakala dua lagi lelaki cedera ringan.
“Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkan mangsa kepada pihak ambulans,” katanya.
Beliau menambah operasi menyelamat oleh bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan ll, S Ganesan itu tamat pada 5.25 petang.