BAGAN DATUK: Bagan Datuk mencatat sejarah apabila diisytiharkan secara rasmi sebagai daerah baharu ke-12 di Perak oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Isnin.

 

Majlis pengisytiharan diadakan di Dewan Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk, disaksikan kira-kira 10,000 orang, kebanyakkannya penduduk daerah baharu itu.

 

Hadir sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Raja Idris Shah; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

 

Kehadiran 10,000 penduduk Bagan Datuk, tanpa mengira keturunan, agama, bangsa dan politik di majlis itu menunjukkan tanda terima kasih kepada Sultan Perak, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

 

Bagan Datuk secara rasmi diwartakan sebagai daerah pentadbiran yang ke-12 di Perak melalui satu warta kerajaan pada 15 Jun lalu.


Dalam ucapan aluannya, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, selama ini Bagan Datuk yang sinonim dengan kelapa kini bakal menerima limpahan pembangunan memandangkan ia agak terpinggir berbanding daerah lain.


Beliau yakin daerah baharu itu akan menerima pembangunan dalam tempoh setahun akan datang.


Katanya, sebagai anak jati Bagan Datuk, beliau sendiri akan memantau segala bentuk perancangan pembangunan yang akan dilaksanakan di daerah baharu itu.


Sebagai mewakili keseluruhan rakyat Bagan Datuk, beliau mengharapkan perkenan Sultan sekali lagi mencemar duli melihat pembangunan yang telah dilaksanakan.


Terdahulu Dr Zambry di dalam ucapannya berharap, kewujudan daerah baharu itu akan menyaksikan kesamarataan pembangunan dan kecekapan pentadbiran dapat dicapai.


Menurut beliau, segala perancangan pembangunan Bagan Datuk akan menjadi semakin mulus dengan keprihatinan Timbalan Perdana Menteri yang sentiasa berinteraksi dengan beliau.


Beliau berkata, perbincangan itu antara lain bagi memastikan perancangan di peringkat negeri dan Persekutuan dapat diselaraskan.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 di sini Julai lalu mengumumkan, hasil persetujuan bersama kerajaan negeri dan Persekutuan, Bagan Datuk dinaik taraf sebagai daerah penuh.