MANJUNG: Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan mengalami kecederaan di badannya termasuk kepala dipercayai didera pengasuhnya Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata insiden dera itu dipercayai berlaku sekitar 11.05 malam Sabtu lepas, ketika mangsa berada di rumah pengasuh berkenaan.
Katanya, ibu saudara mangsa yang merupakan seorang guru tadika berusia 25 tahun telah membuat laporan polis lewat malam Sabtu berhubung insiden malang tersebut.

” Difahamkan, ketika berada di rumah ibu saudaranya di Kampung Tebok Yan, Pantai Remis, mangsa telah muntah dan pemeriksaan lanjut mendapati kesan bengkak di bahagian belakang kepala bayi itu, selain kesan calar di bahu kanan.

“Bayi itu juga didapati mempunyai kesan merah-merah dan bengkak di sekitar telinga sebelah kiri,”katanya dalam satu kenyataan media pada malam Selasa.

Gan berkata, susulan itu pihak polis telah menahan seorang suspek berusia 48 tahun yang merupakan pengasuh di tempat mangsa dihantar bagi jagaan harian di Taman Samudera, Seri Manjung, di sini pada lewat malam Sabtu lepas.