Beberapa kawasan di Taiping dinaiki air petang tadi berikutan ‎hujan lebat selama tiga jam di Taiping sejak tengah hari Isnin.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Taiping Hasna Rashid berkata, antara kawasan terjejas ialah Taman Tupai Mas, Taman Seri Kota dan kawasan Sekolah St George Taiping membabitkan kira-kira 3,000 penduduk.

Katanya di Taman Seri Kota pula kedalaman air mencecah satu meter dan lapan anggota pergi memantau kawasan banjir termasuk menyelamatkan seorang penduduk lumpuh dengan membawanya ke kawasan selamat.

“Hujan lebat selama tiga jam tengah hari tadi telah menyebabkan beberapa tempat termasuk kawasan perumahan dinaiki air antara 0.2 hingga satu meter.

“Bagaimanapun, hujan berhenti kira-kira 4.30 petang manakala banjir beransur surut lebih kurang sejam kemudian, jadi tiada penduduk yang dipindahkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, hujan lebat itu juga mengakibatkan berlaku banjir kilat di Simpang Halt tetapi tiada penduduk yang dipindahkan.