Hujan lebat selama beberapa jam di Beruas telah menyebabkan dua penempatan, Kampung Kilang dan Kapung Tersusun dinaiki air setinggi 1.2 meter pada malam Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Datuk Yahaya Madis berkata pihaknya telah mula menjalankan operasi pemantauan dan mengeluarkan mangsa terlibat bermula lapan malam tadi.

“Operasi kita telah bermula pada jam 8 malam tadi dengan 10 anggota menggunakan 6 aset jabatan untuk membantu mangsa yang terlibat.

“Bomba telah mengeluarkan mangsa yang tersangkut dalam banjir di Kampung Kilang seramai tiga orang dengan menggunakan bot fiber,” ujarnya.

Tambah beliau pihaknya masih lagi memantau keadaan banjir tersebut dan akan mengambil tindakan yang diperlukan sekiranya ia berlarutan.