KUALA KANGSAR: Laluan Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan diantara Kuala Kangsar sehingga berhampiran terowong Menora ‎mengalami kesesakan hampir 8 kilometer berikutan insiden sebuah lori tanker terbakar di kilometer 252.6 malam Jumaat.

Difahamkan, kebakaran tersebut berlaku sekitar 8.30 malam dan setakat 11.48 malam kesesakan masih belum reda.

Pegawai Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Trafik Bukit Aman, Zon Utara 3 Bandar Baru Ipoh, Inspektor Ribuan Husain berkata, bagaimanapun pemandu lori yang membawa muatan diesel tersebut terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati lori tanker yang menghala ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang itu berhenti di bahu jalan setelah pemandunya terhidu bau hangus daripada enjin yang berada di bawah bahagian kepala tanker.

“Pemandu berkenaan kemudian segera memberhentikan lorinya dan keluar daripada tempat duduk pemandu, sejurus selepas itu kebakaran berlaku di bahagian kepala tanker.

“Api marak dengan begitu kuat hingga sesetengahnya merebak sehingga ke bahagian belakang tanker,”katanya ketika dihubungi Suara Perak pada malam Jumaat.

Difahamkan, masa perjalanan di lebuhraya PLUS akan mengalami kelewatan selama 50 minit dan pengguna lebuhraya menghala ke Selatan dinasihatkan untuk menggunakan susur Kuala Kangsar untuk ke Ipoh.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Pegawai Bomba Kanan II Shamsudin Karim pihaknya menerima panggilan sekitar 8.54 malam dan bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya kami di tempat kejadian, didapati kepala tanker berkenaan terbakar sebanyak 30 peratus dan buat masa ini operasi pemadaman masih lagi dijalankan,”katanya kepada Suara Perak.