IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggariskan 10 perkara untuk memacu kecemerlangan negeri Perak tahun ini, termasuk terus membina kerjasama antara jabatan negeri dan jabatan Persekutuan.

Selain kerjasama antara jabatan peringkat negeri dan Persekutuan, sembilan perkara lagi ialah kerahsiaan, kesinambungan, komitmen, kebersihan, keberhasilan, ketepatan bahasa, kelestarian khazanah, kecergasan dan kesediaan.

Berucap di Majlis Executive Talk & Perutusan Tahun Baru 2018 di Ipoh Convention Centre di sini, pada Selasa, Dr Zambry mahu jabatan negeri dan Persekutuan bekerjasama bagi memastikan segala dasar dan keputusan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan baik.

Beliau memberi contoh, apabila kerajaan negeri membuat sesuatu dasar, terdapat jabatan Persekutuan yang memberi ulasan yang berlainan.

Umpamanya, kata beliau, kerajaan negeri berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah lalat yang serius disebabkan ladang ternakan ayam haram di beberapa kawasan seperti Manjung, Tanjung Malim, Bidor dan Trong.

“Kesian, kita nak selesaikan masalah mereka dan kita memerlukan persefahaman semua pihak, jadi kita tidak boleh pula ada jabatan yang beri lesen, kata bagi kami adalah untuk memastikan sumber makanan negara terus terpelihara,” katanya.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, barisan exco kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat turut hadir di majlis itu bersama-sama kira-kira 3,500 penjawat awam dari seluruh negeri.

Menteri Besar meminta penjawat awam supaya menjaga kerahsiaan jabatan masing-masing kerana ia boleh merosakkan dan menjahanamkan sesebuah organisasi, termasuk sesebuah kerajaan.

“Sebab kita bekerja dalam sebuah organisasi, dalam konteks kerajaan negeri Perak, kita tidak boleh langsung bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang jual kerahsiaan kerajaan dan juga yang bertindak dengan cuba untuk menjahanamkan kerajaan,” tegas beliau.

Dr Zambry juga mahu penjawat awam memastikan kesinambungan segala program, dasar dan pelan pembangunan kerajaan, seperti yang digariskan di dalam pelan Perak Amanjaya.

Dalam masa sama, kata beliau, penjawat awam juga perlu komited untuk memastikan janji-janji yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat ditepati dan dilaksanakan dengan baik.

fba65c47-cd1c-4123-be14-e2cbbc1891e5

“Saya mohon kepada tuan-tuan dan puan-puan di peringkat jabatan-jabatan, kalau dengar ada benda-benda yang belum kita laksanakan, sila berkongsi bersama, maklum kepada kami, maklumkan kepada ahli-ahli Exco, maklumkan kepada ketua-ketua jabatan supaya kita dapat laksanakan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kerajaan BN Perak berjaya melaksanakan semua 32 perkara yang dijanjikan, termasuk yang masih dalam proses pelaksanaan, termasuk menjadikan Pangkor sebagai pulau bebas cukai.

Beliau sekali lagi mengulangi bahawa pentingnya penjagaan kebersihan yang menjadi salah satu teras utama dalam tamadun manusia, sehingga negara China melaksanakan revolusi tandas.

“Kalau tuan-tuan dan puan-puan tidak boleh menguruskan kebersihan, kalau tuan-tuan dan puan-puan tidak boleh uruskan tandas, itu menggambarkan kehidupan kita, itu menggambarkan masyarakat kita, itu menggambarkan tentang tamadun kita,” tambah beliau.

Selain menyentuh soal keberhasilan negeri, Dr Zambry mahu supaya kesilapan bahasa Inggeris yang berlaku di pusat penerangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) baru-baru ini, tidak berulang lagi.

“Urusan kerajaan hendaklah sentiasa dilakukan dalam bahasa Melayu. Kalau hendak buat terjemahan untuk tujuan pelancong asing, sila pastikan supaya ia disemak,” katanya sambil mengingatkan supaya jangan mengambil jalan mudah dengan melakukan `google translate’.

Menteri Besar juga meminta penjawat awam supaya sama-sama memelihara kelestarian khazanah untuk memastikan pembangunan mampan di samping terus menghijaukan negeri Perak.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan mereka supaya sentiasa melakukan aktiviti kecergasan bagi memelihara kesihatan di samping membantu persiapan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadualkan September tahun ini.

“Tahun ini adalah merupakan tahun yang sangat bersejarah, pertama kali setiap daerah kita berusaha untuk mengadakan paling tidak satu acara di setiap daerah. Rakyat di setiap daerah di negeri Perak dapat merasai acara SUKMA ini di kawasan-kawasan mereka,” ujarnya.