IPOH: Seramai 10 orang murid serta guru daripada SJK (C) Jit Sin, Pulau Pinang mengalami kecederaan selepas bas ekspress yang membawa 33 murid dan 4 guru pengiring sekolah berkenaan merempuh tiang Plaza Tol Ipoh Selatan, dekat Ampang pada petang Rabu.

Difahamkan, dalam kejadian sekitar 5 petang, bas yang membawa murid Tahun 6 itu sedang dalam perjalanan ke Pulau Pinang dan singgah di Ipoh sejurus selepas lawatan di Melaka dan Cameron Highlands.
Salah seorang guru pengiring, Ng Kim Pee,56, berkata beliau yang pada ketika itu duduk di belakang pemandu hanya menyedari akan situasi mencemaskan itu ketika terdengar jeritan pemandu bas berkenaan.

“Pemandu tersebut menjerit memberitahu brek tidak berfungsi, dan saya terus merasa panik sebelum bas berkenaan melanggar tiang tol dalam sekelip mata.

“Saya tidak sempat melakukan apa-apa, malah tidak sempat memberikan arahan kepada murid-murid kerana kejadian berlaku dengan pantas.

“Dalam masa beberapa saat sahaja, saya terdengar dentuman kuat ketika bas berkenaan merempuh tiang plaza tol, sebelum murid-murid terhentak di kerusi hadapan masing-masing serta cermin bas sekaligus menyebabkan lebih 10 murid dan guru cedera,” katanya.

Kesemua murid-murid dan guru yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan.