ALOR SETAR: Seramai 10 pelajar lelaki dari Asrama Akhlak Gajah Mati, Pokok Sena dekat sini dilaporkan telah melarikan diri dari asrama itu, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kejadian berlaku antara jam 5.30 petang hingga 9.00 malam selepas ia disedari pembantu pegawai pembangunan masyarakat yang berada di asrama itu malam tadi.

Katanya, mereka yang meloloskan diri ialah sembilan remaja warga tempatan dan seorang warganegara Thailand berusia antara 14 hingga 17 tahun.

“Suspek melarikan diri melalui pintu pagar bahagian belakang asrama dengan cara mengumpil pintu dan memotong pagar. Setelah semakan dibuat mendapati 10 tahanan telah hilang iaitu sembilan remaja warga tempatan dan seorang remaja warganegara Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua yang melarikan diri masih berpakaian baju-T berwarna biru dan merah.

“Tahanan yang melarikan diri antaranya mempunyai tiga rekod dadah dan selebihnya rekod jenayah yang mana lapan daripadanya telah dijatuhkan hukuman manakala yang selebihnya masih dalam perbicaraan.

Katanya, sehingga kini belum ada tangkapan dibuat dan usaha mengesan kesemua suspek sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Sekyen 223/224 Kanun Keseksaan. — BERNAMA