KUALA LUMPUR: Seorang pemandu bas wanita, antara 10 pemandu yang disahkan positif dadah dalam Operasi Pemeriksaan Pemandu Bas di 25 terminal bas, antara 8 hingga 19 Jun lalu.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin, berkata semua pemandu bas yang ditahan itu positif dadah jenis methamphetamin, ganja dan opiat.

Berikutan itu, katanya, semua pemandu berusia 30 hingga 40 tahun itu tidak dibenarkan memandu dan lesen mereka akan digantung.

“Mereka sebelum itu dikehendaki menjalani ujian air kencing menerusi program keselamatan jalan raya yang diadakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sebanyak 2,624 pemeriksaan dijalankan sejak program dilancarkan,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Terminal Bersatu Selatan (TBS) di sini, hari ini.

Abd Halim berkata, mereka yang ditahan diberi jaminan sementara menunggu keputusan patalogi dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

“AADK akan terus memantau dan menjalankan pemeriksaan terhadap pemandu bas bagi memastikan semua pemandu bas bebas daripada pengaruh dadah,” katanya.

Katanya, operasi sama turut diadakan tahun lalu dengan 2,989 pemandu bas diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 14 orang didapati positif dadah – berita harian