KAMPUNG GAJAH: Dua remaja berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah antara 10 individu dipercayai penagih dadah ditahan dalam serbuan polis di rumah kosong di Kampung Tanjung di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi itu, semua individu terbabit dipercayai sedang menghisap dadah ketika anggota polis tiba di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, semua lelaki terbabit berusia antara 17 hingga 28 tahun yang menjadikan rumah kosong itu sebagai sarang melepaskan ‘gian’.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua suspek yang ditahan masing-masing memiliki sepaket plastik lutsinar yang dipercayai mengandungi dadah jenis methamphetamine.

“Ketika serbuan dilakukan, ada yang terkejut dengan kehadiran pihak polis bertindak cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan namun suspek berjaya ditahan.

“Rumah kosong itu juga baru seminggu dijadikan ‘port’ untuk mereka menghisap dadah di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, mereka yang ditahan bekerja sebagai pembantu kedai, buruh serta penganggur dan hasil semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah.

“Saringan awal air kencing yang dijalankan turut mendapati semua mereka positif dadah dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya – berita harian