KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tommy Thomas menjangkakan tempoh 10 tahun untuk melaksanakan senarai reformasi undang-undang seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata demikian kepada sebuah portal berita bahawa pejabat Peguam Negara sudah mengeluarkan senarai janji yang dibuat dan senarai pembaharuan undang-undang sebanyak sembilan halaman.

“Banyak akta yang disebut. Ia adalah satu perintah yang sukar untuk dilaksanakan.

“Namun, ia boleh difahami kerana kerajaan kini cuba membersihkan undang-undang oleh satu gabungan yang berusia 60 tahun. Melihat kepada senarai pembaharuan undang-undang di dalam manifesto, proses itu mungkin mengambil masa selama sedekad,” katanya, hari ini.

Justeru, Tommy meminta pelbagai kementerian dan pihak berkepentingan untuk terbabit secara aktif dalam proses mempercepatkan pembaharuan.

“Kementerian perlu bantu. Menteri mesti agresif dalam kementerian masing-masing. Sebagai contoh, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), yang berada di bawah Pendidikan (Kementerian) … “

“Mengapa kita perlu mempercepatkan proses ini, supaya Menteri Pendidikan akan bertindak agresif terhadap kementeriannya dan penasihat undang-undang untuk menyediakan pindaan seterusnya menyerahkan kepada kita.

“Penggubal undang-undang di Parlimen akan memutuskan perkara itu kelak. Mengapa saya timbulkan perkara ini kerana sebagai pihak berkepentingan, kementeriannya mungkin akan mengetahui lebih banyak mengenai Universiti dan Kolej Universiti (akta) daripada pihak lain,” katanya.

Tommy bagaimanapun meminta pelbagai pihak supaya bersabar kerana proses pembaharuan undang-undang memerlukan masa.

Menurut Tommy, undang-undang yang tergesa-gesa adalah tidak baik dan perundingan selama dua hingga tiga tahun bersama kumpulan terbabit adalah cara yang lebih baik bagi proses pembaharuan undang-undang.

“Anda tidak akan dapat undang-undang yang sempurna. (Tetapi) semua orang harus mengambil bahagian dalam reformasi undang-undang. Tiada siapa yang mempunyai monopoli dalam pengetahuan atau pengalaman,” katanya.

Selain AUKU 1971, PH juga berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Pencetakan dan Penerbitan 1984, Akta Majlis Keselamatan Negara 2016, dan apa-apa peruntukan untuk hukuman mati mandatori.

Beliau berkata PH juga akan menghapuskan semua ‘peruntukan kejam’ antara lain Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman dan Pencegahan Akta Keganasan.

Baru-baru ini PH mempunyai halangan dalam usaha untuk membatalkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 apabila Dewan Negara menolak rang undang-undang kerajaan untuk memansuhkan akta itu – berita harian