IPOH: Kira-kira 100 penjaja di Downtown Meru, Persiaran Meru Raya 2 berhampiran Taman Rekreasi Bulatan Amanjaya di sini, kerugian hampir RM50,000 selepas gerai mereka rosak dipukul ribut petang tadi.

Seorang daripada peniaga, Zulkapli Baharom, 54, berkata dalam kejadian jam 6.15 petang, hampir semua peniaga ketika itu baharu hendak memulakan perniagaan.

Katanya, hujan renyai tiba-tiba diikuti ribut yang menerbangkan khemah dan gerai para penjaja.

“Kejadian sungguh pantas, …tiba-tiba ribut dan payung serta khemah di gerai kami diterbangkan hingga ke taman rekreasi.

“Meskipun tiada barang perniagaan yang terjejas, peniaga mengalami kerugian peralatan khemah termasuk lampu dan meja yang dianggarkan semuanya bernilai hampir RM50,000,” katanya ketika dihubungi di sini.

Susulan kejadian itu, Zolkapli berkata, semua peniaga yang baharu dua minggu berniaga di kawasan itu tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa hari ini.

-BeritaHarian