KUALA KANGSAR: Kerajaan Perak meluluskan sebidang tanah di Senggang, di sini, sebagai tapak projek pembinaan Rumah Bina Negara (Rumah BN) bagi generasi kedua FELCRA.

Pengurus Besar FELCRA Berhad Wilayah Perak, Hassan Khamis, berkata perolehan itu membolehkan kira-kira 100 rumah tiga bilik dibina di atas tapak itu dengan harga jualan RM75,000 seunit.

“Kami telah mendapat kelulusan kerajaan negeri melalui mesyuarat yang diadakan semalam dan sekarang kita beralih kepada proses mendapatkan kebenaran merancang sebelum melaksanakan perasmian pecah tanah dijangka pada hujung bulan depan.

“Dijangka semua kelulusan akan diperoleh sebelum hujung Februari depan dan akan mula melaksanakan kerja-kerja tanah pada Mac atau April,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kelengkapan persekolahan kepada 600 pelajar di Parlimen Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Turut hadir, Penolong Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, Ahmad Sufian Ismail.

Pada program itu, kelengkapan persekolahan seperti beg, peralatan menulis, kasut, serta pakaian sekolah diagihkan kepada 600 pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan B40.

Dalam pada itu, Hassan berkata, sumbangan yang disalurkan itu inisiatif Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang bekerjasama melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) FELCRA dengan peruntukan sebanyak RM300 bagi setiap penerima.

“Ini satu lagi inisiatif FELCRA dalam meringankan beban ibu bapa khususya golongan B40 dan insyaAllah kami akan beralih ke kawasan Parlimen lain bagi menyampaikan bantuan seumpamanya tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Sufian berkata, pihaknya menerima 1,800 permohonan bantuan berkenaan pada tahun ini berbanding 1,000 permohonan tahun lalu.

“Selain FELCRA, kami juga berkolaborasi dengan agensi lain termasuk Perbadanan MARA Berhad dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan dana yang cukup untuk membantu golongan sasar,” katanya. – BH ONLINE