IPOH: Seramai 100 warga Bandaraya Ipoh yang kurang bernasib baik diraikan dalam program Sekalung Budi Deepavali 2017 di Dewan Bandaran Ipoh di sini pada Khamis.

Mereka terdiri daripada 50 kaum India, 25 Melayu dan 25 Cina, termasuk tujuh orang kelainan upaya (OKU).

Program tersebut anjuran Majlis Bandaraya Ipoh ( MBI) dengan kerjasama Majlis Masyarakat Sivil (MMS) MBI.

Mereka menerima sumbangan kotak makanan YBU, hamper Deepavali dan wang tunai, yang disampaikan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakuan Zakaria, Ketua Pegawai Operasi YBU, Hairul Anwar Mohd Noor, ahli-ahli MBI, ahli MMS dan ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk, JPP.

Datuk Bandar di dalam ucapannya memuji usaha MMS kerana mengadakan program Sekalung Budi jejak tiga tahun lalu, yang antara lain membantu golongan kurang bernasib baik.

491b805d-e841-4c19-b066-9f63d9e04326Katanya, selain, Sekalung Budi Deepavali, turut juga diadakan program yang sama untuk Hari Raya Aidil Fitri dan Tahun Baru Cina.

Menurut beliau, MBI memperolehi pelbagai anugerah, seperti bandaraya terbersih dan PBT terbaik seluruh negara kerana mempunyai warga bandaraya yang hidup bersatu padu dan saling hormat menghormati.

“Saya percaya program-program seperti ini akan diteruskan di masa-masa akan datang sebagai tanpa prihatin dan simpati kita terhadap golongan yang kurang bernasib baik,” ujarnya.

Sambil mengucapkan syabas kepada jawatankuasa penganjur, Zamri turut merakamkan penghargaan kepada para penyumbang yang sentiasa bersedia untuk membantu.