BARISAN Nasional (BN) Titiwangsa akan menyediakan 1,000 pengangkutan percuma bagi mengambil dan menghantar pulang pengundi di kawasan itu ke pusat mengundi pada Rabu minggu depan.

Calon BN di parlimen itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha itu bertujuan memastikan jumlah pengundi yang turun di kawasan itu meningkat sekaligus mencerahkan peluang BN untuk mempertahankan kerusi itu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa berkata, inisiatif itu juga diharapkan dapat memastikan lebih 4,000 pengundi yang tidak turun mengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu dapat dikurangkan sekali gus menambah majoriti undi BN di Titiwangsa.

“Selepas tamat PRU ke-13, saya membuat analisis dan menemui tiga sebab mengapa lebih 4,000 pengundi tidak keluar mengundi.

“Antaranya ialah halangan untuk golongan seperti veteran dan ibu tunggal pergi ke pusat mengundi kerana tiada kenderaan dan tidak tahu lokasi pusat mengundi mereka.

“Selain itu, faktor lalai sehingga tidak sempat mengundi dan tanggapan tidak perlu mengundi kerana yakin calon BN akan menang. Tanggapan ini berbahaya kerana saya hanya boleh menang jika pengundi keluar mengundi saya.

“Jadi, kali ini kita sediakan 1,000 pengangkutan percuma dan petugas serta sukarelawan ini bukan saja akan menghantar, tetapi menjemput pengundi di depan rumah mereka,” katanya ketika ditemui pada program santai bersama pesara anjuran Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden KUPKKM, Tan Sri Dr Aseh Che Mat.

Pada PRU ke-14 ini, Johari berdepan cabaran tiga penjuru menentang Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad dan calon PKR, Rina Harun yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pada PRU lalu, Johari yang juga Menteri Kewangan Kedua hanya menang dengan majoriti tipis, iaitu 866 undi.

Dalam pada itu, Johari yang juga penyandang kerusi parlimen itu turut menolak dakwaan yang mengatakan mana-mana parti politik yang mentadbir kerajaan akan melaksanakan dasar dan kepentingan rakyat yang sama seperti dilakukan BN ketika ini.

Ini kerana katanya, keseimbangan politik dan ekonomi sesebuah negara bergantung kepada pihak yang mentadbirnya dan ia telah berjaya dibuktikan oleh BN sepanjang 60 tahun mentadbir Malaysia.

“Siapa cakap kalau tukar kerajaan sama saja? Lihat pada negara Syria, Afghanistan, Iraq dan Mesir, negara yang mempunyai ramai majoriti orang Arab. Mereka telah hilang kestabilan politik dan hilang pelancong yang memberi sumbangan besar dalam ekonomi.

“Begitu juga dengan Filipina yang pernah menjadi negara kedua terkaya di Asia selepas Jepun ketika era kemerdekaan pada tahun 1957. Malah, dalam tempoh 10 tahun selepas itu, ramai pensyarah di universiti tempatan diambil dari Filipina.

“Namun, selepas 60 tahun situasi itu berubah. Kita kini lebih maju dari

mereka apabila pendapatan perkapita Malaysia adalah kira-kira AS$10,000 manakala Filipina pula di antara AS$2,000-AS$3,000. Jadi, kenyataan bahawa jika menukar kerajaan sama sahaja adalah tidak tepat,” katanya sambil meminta pengundi supaya mengundi berdasarkan fikiran yang waras dan bukan sentimen – hmetro

BERITA BERKENAAN :  Kesibukkan Berkempen Tidak Halang Luang Masa Bersama Masyrakat Sikh