IPOH – Kira-kira 1,000 peniaga Bazar Ramadan di Bandaraya Ipoh telah menghadiri sesi townhall bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man di Dewan Bandaran di sini pada Khamis.

Pelbagai isu dan permohonan telah dibangkitkan di dalam sesi tersebut, antaranya permohonan khemah kesihatan dan kadar bayaran.

Bagaimanapun, semua isu berjaya diselesaikan dalam suasana yang musyawarah, selaras objektif penganjuran sesi berkenaan – untuk mengeratkan hubungan di antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan peniaga Bazar Ramadan di samping mengatasi permasalahan yang dihadapi oleh mereka.

Peniaga juga telah diberi taklimat mengenai pengendalian makanan oleh pegawai Jabatan Kesihatan MBI.

Program seumpama itu adalah julung-julung kalinya dianjurkan oleh MBI, khususnya berkaitan penganjuran  Bazar Ramadan.

Rata-rata peniaga yang hadir meluahkan rasa gembira serta bersyukur dengan penganjuran program tersebut yang memberi peluang kepada mereka untuk beramah mesra disamping meluahkan permasalahan yang dihadapi mereka secara terus kepada Datuk Bandar Ipoh.

 

Menurut Zamri, program seumpama itu akan terus diadakan pada masa akan datang dalam memastikan penganjuran Bazar Ramadan di Bandaraya Ipoh berjalan lancar dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Beliau juga mahu semua peniaga, penganjur dan pembeli untuk bersama-sama MBI menjadikan Bazar Ramadan di Bandaraya Ipoh bertaraf 5 bintang serta menjadi contoh kepada Bazar Ramadhan di seluruh negara.