IPOH 5 April – Hampir 1,000 jemaah menunaikan solat hajat di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) bagi memohon petunjuk supaya dipertemukan peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang semasa perlumbaan itu sejak 23 Mac lalu.

Solat hajat yang turut diadakan serentak di seluruh masjid negeri ini, dipimpin oleh Imam Masjid Negeri, Muhammad Ali Mohamad Noh selepas menunaikan solat Jumaat.

Sewaktu memimpin bacaan doa, Muhammad Ali memohon supaya Mohammad Ashraf diberikan kesihatan yang baik selain dipermudahkan pencariannya.

Dalam kejadian pada 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer, disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas pertandingan itu.

Ekoran kehilangannya yang masuk hari ke-14 pada hari ini, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin telah meminta supaya semua masjid di seluruh negeri supaya dapat melakukan solat hajat bagi membantu pihak terlibat dalam operasi pencarian tersebut. – UTUSAN ONLINE