PARIT BUNTAR – Kira-kira 10,000 umat Islam dari sekitar Parit Buntar memenuhi Dataran Kerian Permai dekat sini sempena Ceramah Perdana oleh pendakwah terkenal, Datuk Kazim Elias (Datuk Kazim) pada Rabu malam.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta barisan exco kerajaan negeri.

Ceramah Perdana itu adalah antara Program Pemukiman YAB Menteri Besar di Daerah Kerian yang bermula Selasa hingga Jumaat ini.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib, Isyak dan solat hajat secara berjemaah, diikuti dengan ceramah daripada Ustaz Kazim.

Sebagai penghargaan dan mengubati rindu hadirin yang datang kerana sudah lama tidak mendengar ceramahnya, Ustaz Kazim yang kembali sihat selepas menjalani rawatan beberapa bulan lalu menyampaikan ceramah kira-kira dua jam.

Antara intipati ceramah beliau ialah mengeratkan perpaduan, mengelakkan perpecahan sesama saudara Islam dan isu-isu semasa, termasuk yang melibatkan anak-anak muda.

kazim2

kazim4

kazim3