IPOH: Lebih 10,000 wargakota Ipoh dijangka menyertai pelancaran Kempen Perak Yang Bersih yang akan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Padang Ipoh, esok (Jumaat).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, kempen itu merupakan program gotong royong kebersihan secara mega, yang digerakkan oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, kempen antara lain untuk menggalakkan masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran dan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, objektif utama kempen itu adalah untuk menjadikan Perak sebuah negeri yang terbersih, indah dan sejahtera, tidak hanya memadai dengan penyediaan perkhidmatan, infrastruktur dan kemudahan awam kepada masyarakat.

“Sebaliknya masyarakat perlu dididik untuk berubah ke arah kehidupan yang membudayakan kebersihan dan penjagaan alam sekitar,” katanya ketika berucap di mesyuarat penuh Majlis bulan Mac di sini pada Khamis.

Turut diadakan majlis angkat sumpah Ceylyn Tay Wei Lung sebagai Ahli Majlis MBI bagi tempoh 2017 / 2018 dan taklimat pelancongan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Management Sdn. Bhd., Zuraida Md Taib.