IPOH: Kira-kira 10,000 orang dijangka mengunjungi Program Jom Kapit Tebu: Kenduri Semukim yang akan diadakan pada 14 -16 Disember ini di Padang Bola Sepak Kampung Jong, Gerik.

90fe6df3-df88-41d7-b644-38378400b789Koordinator program, Datuk Wan Azizi Datuk Seri Wan Mohamed berkata, mereka terdiri daripada 5,000 penduduk sembilan kampung di Mukim Kerunai, 2,000 anak Gerik di perantauan dan 3,000 lagi penduduk kawasan sekitar.

Menurut beliau, pelbagai aktiviti telah diatur sepanjang tiga hari program itu yang dianjurkan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman dan ketua-ketua kampung Mukim Kerunai.

Antara aktiviti itu ialah majlis tahlil, pelancaran tabung derma pembinaan Masjid Kg Jong, permainan tradisional, pameran peralatan lama, demonstrasi penggunaan peralatan lama, kenduri semukim dengan makanan warisan dan persandingan pengantin.

“Saya percaya program ini akan mengembalikan nostalgia 40 – 50 tahun lalu, khususnya kepada penduduk di Gerik dan Mukim Kerunai,” katanya kepada pemberita selepas bersiaran di Perak FM di sini, hari ini.

Wan Azizi berkata, selain mengembalikan nostalgia dan pendedahan untuk generasi muda, Jom Kapit Tebu: Kenduri Semukim juga menjadi perhimpunan keluarga besar masyarakat di Mukim Kerunai.

924e499f-9b10-4502-8510-63040411e30eBeliau memberitahu, kemuncak program ialah kenduri semukim pada 16 Disember yang menyajikan menu tradisi seperti daging masal gulai Patani, gulai batang pisang, kerabu pucuk paku, kerabu sardin, siput gondang, umbut bayas, ulam-ulaman dan pekasam.

“Saya bagi pihak Ahli Parlimen Gerik, menjemput orang ramai, termasuk penduduk kampung, anak-anak Gerik di perantauan dan mereka yang lalu lalang di Kg Jong, datang beramai-ramai ke majlis ini,” ujarnya.

Beliau turut berharap kerajaan negeri Perak dapat menyahut cabaran penduduk Mukim Kerunai agar program itu dijadikan salah satu acara di dalam kalendar pelancongan negeri.

Mukim Kerunai mempunyai sembilan buah kampung iaitu, Kerunai, Jong, Padang Setang, Plang, Lalang, Alai, Pahat, Pahit dan Tun Saban.