PULAU PANGKOR: Kira-kira 10,000 rakyat berbilang kaum menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri Perak di Arena Pangkor di sini pada Jumaat malam.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis tersebut.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Dihilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Turku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Bukan Islam, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional dan Kampung Baru, Datuk Dr Mah Hang Soon serta pemimpin masyarakat.

CNY Pangkor 6

Dr Mah yang juga Pengerusi sambutan majlis dalam ucapan aluannya berkata, perayaan itu merupakan satu daya tarikan besar untuk pelancong mengunjungi negara ini.

Katanya, ini kerana perayaan itu mempunyai kekuatan bangsa Malaysia.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan ang pau kepada kanak-kanak.

Majlis sambutan telah diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan.