IPOH: Seramai 10,000 pesara awam di Perak hari ini menyatakan sokongan serta kepercayaan penuh kepada kerajaan negeri Barisan Nasional di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selaku Menteri Besar sejak tahun 2009.

Pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Negeri Perak, Datuk Mohamed Hamzah berkata sokongan rata-rata pengundi kalangan pesara tidak berubah sejak Dr Zambry menerajui Perak.

Mohamed, yang merupakan pernah bekas pegawai kanan di Jabatan Pengangkutan sebelum ini menjelaskan bahawa sokongan itu bukan atas dasar membuta tuli tetapi disebabkan pelbagai faedah yang diterima pesara awan di Perak.

Katanya lagi, tidak pernah ada kerajaan negeri yang begitu menghargai dan mengiktiraf sumbangan bekas penjawat awam seperti yang dilakukan barisan kepimpinan negeri Perak.

“Ada lima perkara utama yang membezakan bagaimana Perak menjaga kami sebagai pesara dengan negeri lain, yang membuatkan kami tidak rasa tersisih dan sentiasa dijaga oleh Dr Zambry dan pasukannya.

“Selain itu, kami turut kagum dengan inisiatif Dr Zambry mengarahkan agar pejabat perjumpaan bagi pesara kerajaan di setiap daerah dapat diselaraskan dengan pejabat Penghulu selain memberikan pengiktirafan kepada kami melalui penganjuran Majlis Jasamu Dikenang setiap enam bulan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan aluan dalam Majlis High Tea bersama Pesara Awam yang dihadiri hampir 500 pesara awam di Kediaman Menteri Besar di sini,hari ini.

Justeru, Mohamed yang mesra dengan panggilan Tok Mat berkata segala sumbangan dan faedah itu akan dibalas dengan sokongan dan keyakinan atas perjuangan Dr Zambry dan kepimpinan kerajaan negeri untuk terus menerajui Perak.

Tok Mat,77, juga berkata beliau sendiri melihat keprihatinan kerajaan negeri Perak kepada pesara awam meskipun menghabiskan masa bertugas di ibu negara dalam perkhidmatan beliau sebelum ini.

“Saya ada 10,000 orang bersama saya untuk menyokong kepimpinan Dr Zambry, mudah-mudahan dia akan kekal sebagai seorang pemimpin, kerana terlalu banyak faedah yang kami perolehi sepanjang dua penggal beliau menjalankan amanahnya sebagai Menteri Besar.

“Kami masih terhutang budi dan orang lama seperti kami tak akan melupakan jasa baiknya sampai bila-bila,”ujarnya lagi.