IPOH: Sebanyak 10,917 tuntutan telah dibuat di bawah Program Perlindungan Tabarru’ Khairat Kematian diperkenalkan kerajaan negeri Perak sejak tahun 2013 hingga Julai tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, daripada jumlah itu, 5,831 adalah pemohon Melayu, 3,278 (Cina), 1,631 (India) dan 177 (lain-lain).

Menurut beliau, pada tahun 2013, bantuan itu disasarkan kepada 14 golongan, antaranya warga tua miskin tegar yang tinggal sendirian, penerima bantuan bulanan JKM, OKU dan penerima bantuan bulanan Baitulmal, senarai e-kasih miskin tegar, ketua isi rumah Orang Asli, pesara tentera, polis dan guru, imam, bilal dan siak di samping paderi dan sami.

“Semua 14 golongan ini perlu berdaftar di bawah bantuan skim tabarru ini bagi membolehkan waris menuntut bayaran tersebut untuk meringankan beban pengurusan jenazah,” katanya ketika menjawab soalan asal Lim Pek Har (DAP – Mengelembu) dalam Sidang DUN di sini pada Selasa.

Rusnah berkata, dengan hasrat supaya lebih ramai waris boleh menerima bantuan ini, pada Mei 2014, kerajaan negeri memansuhkan pendaftaran kepada penerima bulanan JKM, Baitulmal serta pesara kerajaan dan mengekalkan pendaftaran kategori lain.

“Namun, masih ramai lagi waris dalam kategori lain yang tidak menuntut,” tambah beliau.

Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan menyedari bahawa sistem pendaftaran ini menjadi satu kekangan bagi membolehkan waris membuat tuntutan kerana kemungkin tidak berdaftar atau waris tidak tahu, mulai 1 September 2014, keperluan mendaftar telah dimansuhkan.

Malah, tambah beliau, kerajaan negeri telah memperluaskan kategori pesara tentera, guru dan polis dengan memasukkan mereka ke dalam kategori pesara kerajaan dan menambah peserta yang layak kepada pesara yang telah berkhidmat dan bersara di Perak.

Selain itu, ujarnya, untuk penerima bantuan bulanan JKM dan juga Baitulmal, turut diperluaskan kepada kematian anak atau ibu bapa mereka.

Rusnah menjelaskan, jumlah bantuan tersebut dikurangkan daripada RM1,000 kepada RM500 bagi membolehkan lebih ramai golongan penerima yang akan layak untuk menerimanya.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan negeri akan mengkaji keperluan dari semasa ke semasa sama da untuk menambah semula bantuan itu kepada RM1,000.

Menjawab soalan tambahan wakil yang sama, Rusnah menjelaskan tiada syarat si mati mesti pengundi di negeri Perak tetapi ia mesti anak kelahiran Perak.

Menjawab soalan tambahan Datuk Sham Mat Sahat (BN – Alor Pongsu), bagi si mati yang bukan anak Perak, salah seorang ibu atau bapa mereka mesti anak Perak atau telah bermastautin lebih 10 tahun di negeri ini di samping berkhidmat dan bersara di sini.