KAMPAR: Cuti sekolah di Kampar dijangka  meriah dengan festival terbesar yang dianjurkan oleh penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Festival WOW Kampar yang akan menjadi acara kemuncak di pekan yang pernah menjadi pusat perlombongan Perak itu bakal menyaksikan 25 program yang melibatkan pelbagai agensi swasta dan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, festival tiga hari yang  berlangsung sehingga Ahad ini, dipenuhi dengan acara pameran, bidang sukan dan rekreasi, aktiviti berteraskan pendidikan dan keusahawanan serta program berbentuk jalinan komuniti.

“Kita menjangkakan lebih daripada 100,000 pengunjung bakal memenuhi Sports@Grand Kampar kerana ini merupakan kali pertama festival sebegini dianjurkan, tambahan pula dengan pengisian pelbagai aktiviti unik dan interaktif.

“Kerajaan negeri berharap aktiviti ini akan menjadi acara tahunan serta trademark bagi Kampar di masa akan datang,” katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, festival julung kali diadakan dengan kerjasama Majlis Daerah Kampar itu juga menampilkan pameran sejarah kronologi perlombongan bijih timah di sekitar  Muzium Bijih Timah Kinta (Gravel Pump) selain pertandingan sukan dan bazaae makanan.

“Lebih daripada 60 gerai akan menjual makanan terkenal dan warisan negeri,selain kempen derma darah dan penyertaan agensi-agensi kerajaan,”  ujarnya.

Nolee berharap pengunjung juga tidak  melepaskan peluang singgah ke Gopeng untuk melihat Gua Tempurung dan melawat Kapal Korek Tanjung Tualang 5, selain ke Perak Agrotourism Resort untuk merasai keenakan udang air tawar.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Khairul Amin Mohamad Zubir serta barisan pensyarah dan pelajar UTAR.