SANDAKAN: Kumpulan Yayasan Sabah membelanjakan RM652.7 juta bagi menaja pengajian 101,730 pelajar sejak penubuhannya lebih 50 tahun lalu.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad, berkata Kumpulan Yayasan Sabah kini bukan saja menyediakan sokongan prasarana pendidikan, tetapi meluaskan sayapnya dengan penyediaan langsung kemudahan pendidikan menerusi Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) dan Universiti Kolej Yayasan Sabah (UCSF).

Katanya, sehingga kini, KTYS sudah melahirkan 5,713 graduan, manakala UCSF menjadi tanda aras Kumpulan Yayasan Sabah yang cemerlang dalam pendidikan dengan fasiliti disediakan setaraf universiti ternama.

“Selepas lebih 50 tahun penubuhan Yayasan Sabah, usaha Almarhum Tun Datu Mustapha Datu Hadun memberi peluang pendidikan anak Sabah menjadi kenyataan.

“Menerusi KTYS dan UCSF, lebih ramai anak Sabah berpeluang menikmati kemudahan pendidikan di negeri ini,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Roadshow Yayasan Sabah Bersama Rakyat yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman di dewan Sri Libaran, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Zakaria Edris.

Program jelajah itu diisi dengan temu duga terbuka dan pameran pelbagai agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Musa ketika berucap berkata, Yayasan Sabah antara agensi kerajaan negeri yang komited membangunkan negeri ini dalam pelbagai aspek merangkumi pendidikan, pemuliharaan hutan, menyediakan peluang pekerjaan dan pelbagai bidang lain.

“Komitmen ditunjukkan Yayasan Sabah dalam pelbagai bidang selaras hasrat kerajaan membangunkan negeri ini dan saya percaya kita berada pada landasan betul,” katanya.

Sementara itu, Musa turut menggesa pegawai kanan agensi negeri dan Persekutuan di negeri ini supaya mempertingkat program turun ke padang bagi berjumpa rakyat dan tidak bersikap sambil lewa terhadap apa juga rungutan rakyat.

“Saya sendiri rajin turun melihat dan memantau dari daerah ke daerah bersama agensi kerajaan negeri dan Persekutuan. Ini menunjukkan cara kita bertindak untuk rakyat,” katanya – berita harian