IPOH: Lebih 100 undi ahli PKR Cabang Ipoh Barat hilang dari sistem pengundian pada proses pemilihan cabang itu di sini, hari ini.

Ketua Pengawas, Mohd Hatta Marzuki, berkata kehilangan sebanyak 102 undi itu menyebabkan pengiraan keseluruhan undi bagi mendapat keputusan rasmi dihentikan seketika.

“Sejumlah 470 ahli PKR cabang itu keluar mengundi hari ini dengan 12 pengundi ragu direkodkan, menjadikan undian sebenar sebanyak 458 sahaja.

“Bagaimanapun daripada jumlah 458 undi itu, hanya 356 undi yang berjaya dihantar ke ‘server’,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat mengundi itu, malam ini.

Mohd Hatta berkata, terdapat dua kemungkinan kehilangan undi itu iaitu berpunca masalah teknikal atau pengundi tidak menghantar undi mereka.

“Ada 102 yang tidak dikembalikan kemungkinan masalah teknikal dan satu lagi pengundi datang tetapi tidak menghantar undian mereka ke ‘server’ di pusat,” katanya.

Mohd Hatta berkata, pasukan teknikal sedang berusaha mengesan undi yang hilang itu dan keputusan bagi cabang berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kesemua calon bersetuju untuk menunggu keputusan rasmi. Saya juga difahamkan, masalah yang sama turut berlaku di 17 cabang lain di Perak,” katanya.

Katanya, sehingga jam 8 malam tadi, keputusan tidak rasmi bagi jawatan timbalan presiden menunjukkan Rafizi Ramli mendahului dengan 178 undi meninggalkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan 149 undi – berita harian