IPOH: Seramai 103 mangsa banjir ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di daerah Perak Tengah setakat 12 tengah hari tadi, selepas kawasan kediaman mereka dilanda banjir kilat berikutan hujan berterusan sejak Jumaat lepas.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, banjir kilat itu telah menjejaskan kehidupan 21 keluarga di Kampung Simpang 3 dan Kampung Serapuh di daerah itu dan kini berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Simpang 3, Parit.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri melaporkan enam orang mangsa terlibat dalam kejadian banjir kilat di Kampung Ulu Lawin di daerah Gerik, tengah hari ini.

“Mangsa terdiri daripada dua keluarga iaitu dua wanita, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang bayi.

“Paras air di kampung itu telah mencecah 1.2 meter dan operasi menyelamat masih dijalankan,” katanya.

Di Lenggong, 60 mangsa banjir ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ramai Kampung Sumpitan setakat 2 petang ini, selepas paras air mencecah satu meter di kawasan kediaman mereka.

— BERNAMA