IPOH: Polis menahan 11 orang termasuk lima warga asing ahli sindiket dadah dan merampas 16.8 kilogram syabu bernilai RM1.2 juta dalam serbuan di lapan lokasi antaranya sebuah kilang yang dijadikan makmal memproses dadah di bandar raya ini semalam.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chang, serbuan dijalankan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak bermula jam 6 pagi hingga 2 petang di beberapa kawasan termasuk Taman Rishah, Taman Buntong, Sungai Pari, Taman Silibin dan satu premis kilang di Jelapang yang dijadikan makmal memproses syabu.
Beliau berkata, dalam serbuan itu dua makmal dadah berjaya dibongkar melibatkan premis kediaman dan kilang serta memberkas 11 anggota sindiket dadah berusia 20 hingga 55 tahun.

Katanya, daripada tangkapan itu enam daripadanya adalah lelaki tempatan, tiga warga Sri Lanka ,seorang lelaki Greece dan seorang wanita warga Indonesia.

Menurut Kang, keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM1.2 juta itu dipercayai boleh diedarkan kepada kira-kira 84,000 penagih.

 


“Nilai sitaan daripada sindiket berkenaan pula dianggarkan RM220,000 menbabitkan wang tunai lebih RM18,000, dua kereta jenis Toyota Camry dan BMW, selain dua rantai emas,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh pada Selasa.

Chez Chiang berkata, kesemua anggota sindiket dadah itu direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.