KUALA LUMPUR: Seramai 11 lelaki etnik Uighur yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masuk ke Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah, Januari lalu.

Tertuduh, Zakaria Arman, Salehudin Ali, Jaefar Amin, Osman Abbas, Alim Osman, Asen Ziyali, Taher Kasim, Ibrahim Rexiti, Nurudin Muhammad, Abdul Kader dan Yusof Ahmed yang semuanya berusia antara 20 hingga 40 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Turki di depan Majistret Zuhair Rosli.

Mengikut pertuduhan, mereka sebagai warga asing didakwa masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan sah dan kesalahan itu dilakukan di perkarangan Balai Polis Sentul, di sini, pada jam 10.50 pagi, 31 Januari lalu.

Susulan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan maksimum enam sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam, manakala tertuduh diwakili peguam Fahmi Abd Moin, Ilyani Khuszairy, Zainal Omar dan Raimi Ab Rahim.

Terdahulu, Najwa tidak menawarkan jaminan terhadap semua tertuduh dah mahkamah kemudian menetapkan 31 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa Thailand sedang memburu 20 etnik Uighur dari China yang melarikan diri dari pusat tahanan imigresen di Sadao, berhampiran selatan Malaysia-Thailand, ketika Beijing mendesak mereka dihantar pulang.

Kumpulan yang diburu itu antara ratusan etnik Uighur yang ditahan di Thailand pada 2014, tetapi mendakwa mereka rakyat Turki dan dikhuatiri menyelinap masuk ke Malaysia untuk menyelamatkan diri – berita harian