ROMPIN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menahan 11 lelaki dipercayai terbabit aktiviti melombong bijih besi tanpa lesen di Hutan Simpan Ibam dalam Operasi Bersepadu Kawasan Lesen Mencarigali dan Pajakan Lombong (Ops Ibam 2), dekat sini.

Selain penahanan 11 pelombong haram berusia 24 hingga 57 tahun itu, operasi dikendalikan Bahagian Penguat kuasa JPNP turut merampas empat jentera iaitu jengkaut dan jentolak selain empat pacuan empat roda serta 17 kontena.

Ops Ibam 2 dilancarkan susulan penahanan dua dalang kegiatan melombong emas tanpa lesen iaitu lelaki berusia 45 dan 51 tahun di lokasi sama pada Mei lalu membabitkan rampasan 57.3 kilogram (kg) amang (serbuk) emas.

Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, 11 suspek berkenaan disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 yang pendakwaannya akan dilakukan segera sebagai bukti ketegasan pihaknya membendung kegiatan perlombongan haram di negeri itu.

“Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba meraih hasil bumi negeri ini secara tidak sah.

“Operasi tiga hari mulai Selasa hingga semalam itu turut mengesan tiga kesalahan lain iaitu memasuki hutan simpan tanpa permit, membersihkan hutan simpan tanpa kebenaran dan tidak memperbaharui pajakan lombong,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penutup Ops Ibam 2 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin di Hutan Simpan Ibam dekat sini, semalam.

Dr Mohd Hizamri berkata, operasi bersepadu disertai 140 anggota penguat kuasa dan menggunakan 24 kenderaan pacuan empat roda itu melakukan pemeriksaan aktiviti perlombongan di Hutan Simpan Ibam seluas 30,951 hektar.

“Saya menganggap operasi yang turut disertai agensi seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Jabatan Mineral dan Geosains serta Pejabat Daerah dan Tanah Rompin berjaya mencapai matlamat.

“Selain mengeratkan hubungan agensi penguat kuasa, operasi diadakan bertujuan menguatkuasakan akta digunakan setiap agensi terbabit serta mengekang berlakunya ketirisan hasil kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kepakaran Unit Forensik Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) turut digunakan dalam operasi itu bagi mendapatkan bukti lebih tepat untuk tujuan pendakwaan – berita harian