IPOH: Seramai 409 penunggang dan pembonceng motosikal, termasuk 11 perempuan ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Taman Pangkalan Jaya, Jalan Pasir Puteh di sini awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, operasi bermula pukul 12 tengah malam dan berakhir pada pukul 5 pagi itu disertai oleh 42 pegawai polis dan anggota.

Katanya, dalam operasi tersebut, kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 25 tahun.

Beliau berkata, sebanyak 326 buah motosikal disita dan pihaknya mengenal pasti 675 kesalahan sebelum mengeluarkan 559 saman.

“Kesalahan yang dilakukan antaranya tiada lesen memandu, cukai jalan dan lesen tamat tempoh, mengabaikan isyarat lalu lintas, ubah suai motosikal dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Penguatkuasa Trafik Ipoh pada Ahad.

Menurut Sum, menerusi operasi itu polis turut menawat dua lelaki berumur 20-an yang merupakan penjawat awam.

Katanya, Op Samseng Jalanan merupakan operasi terbesar yang dijalankan di negeri ini dengan membabitkan jumlah tangkapan yang ramai.