Oleh:Nazialita Geynna Maharan

CAMERON HIGHLAND: Sebanyak 11 buah rumah termasuk tiga buah berek polis terjejas berikutan banjir kilat yang berlaku di Kg Baru Ringlet, di sini pada petang Selasa.
Dalam kejadian sekitar 5 petang itu, hujan lebat berterusan selama 30 minit menyebabkan paras air naik mendadak dan menjejaskan sebanyak 13 keluarga di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A. Hamid berkata kejadian berlaku apabila hujan lebat menyebabkan limpahan air Sungai Ringlet memasuki kawasan tebing sungai dimana  terletaknya kebanyakan rumah yang terjejas.
“Banjir kilat berlaku dalam tempoh 30 minit dan melibatkan kerosakan harta benda seperti pakaian, peralatan dan perabot rumah, lima buah kenderaan termasuk sebuah motosikal

“Hasil laporan bomba didapati banjir kilat adalah taburan hujan yang banyak dan melalui Sungai Ringlet sebelum membanjiri kawasan kediaman menerusi Empangan SAB,”katanya kepada pemberita.
Kata beliau, anggaran kerugian sebenar untuk kesemua barangan terjejas akibat banjir kilat itu masih belum dapat dipastikan.
Bagaimanapun,Hasadid berkata tiada kerosakan terhadap Balai Polis Ringlet berikutan air limpahan yang tidak masuk ke dalam balai.
Jelas beliau, antara tiga buah rumah yang terjejas adalah berek milik Ketua Polis Balai Ringlet dan kesemua berek berada di dalam kawasan balai mereka.
“Sebanyak 7 buah rumah dan sebuah stor pakaian di Kg Baru terjejas dan jumlah keseluruhan adalah 11 buah rumah di mana 24 orang adalah awam dan lapannya ahli keluarga Balai Polis Ringlet.

“Buat masa ini, mangsa terlibat sedang membersihkan lumpur yang memasuki rumah mereka sambil dibantu jiran-jiran dan ada di antaranya menginap rumah jiran buat sementara.”ujarnya beliau.

Katanya, hujan telah mulai reda seawal 6.30 petang dan tiada kecederaan dilaporkan begitu juga dengan pembukaan pusat penutupan sementara,”ujar beliau.