IPOH: Seramai 116 orang pelajar sekolah menengah di Perak didapati positif dadah sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing berkata, bilangan itu adalah empat peratus daripada 3,002 pelajar yang menjalani ujian saringan sepanjang tempoh itu.

Menurut beliau, daripada bilangan mereka yang positif dadah, empat orang pelajar positif dadah jenis opiate, 30 orang pelajar positif dadah jenis ganja dan selebihnya seramai 82 orang pelajar positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kesemua 116 pelajar yang didapati positif adalah pelajar lelaki,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Samsudin Abu Hassan (BN – Air Kuning) ketika siding Dewan Undangan Negeri, hari ini.

May Ing berkata, kerajaan negeri melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan meneruskan ujian urin bagi mengesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja di negeri Perak.

Menurutnya, ia juga bertujuan menjalankan intervensi awal bagi mereka yang berisiko tinggi untuk terlibat dalam penyalahgunaan dadah termasuk di sekolah-sekolah menengah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Beliau memberitahu, melalui teras program Institusi Pendidikan Bebas Dadah, sebanyak 23 program utama telah dilaksanakan, antaranya melalui kem-kem Program Intelek Asuhan Rohani (PINTAR), Program Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (SHIELDS) dan Program `Tomorrow’s Leader’.

“Di samping itu, program-program kesedaran awam seperti ceramah dan pameran juga telah dilaksanakan dari masa ke semasa bagi memberikan maklumat dan juga kesedaran mengenai bahaya dadah kepada kumpulan sasar.

“Begitu juga dengan penyebaran maklumat dan kempen melalui media sosial supaya maklumat mudah tersebar berdasarkan kecenderungan golongan remaja dalam penggunaan media baru ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, May Ing memberitahu, sepanjang tempoh Januari hingga September 2018, AADK telah melaksanakan sebanyak 688 operasi bagi menahan mereka yang disyaki sebagai penagih dadah.

Menurutnya, daripada 688 operasi tersebut, 503 daripadanya adalah operasi AADK manakala bakinya 185 dilaksanakan secara bersepadu dengan agensi penguatkuasaan yang lain.

“Jumlah Orang Yang Disyaki (OYDS) yang ditangkap di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dalam operasi-operasi berkenaan adalah seramai 3659 orang.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 1843 orang didapati positif saringan awal manakala seramai 1036 orang telah disahkan positif dadah oleh Jabatan Patologi dan disahkan sebagai penagih dadah oleh Pegawai Perubatan,” tambahnya.