IPOH – Sebanyak 12 jabatan serta pejabat kerajaan negeri di Perak didapati masih tidak mematuhi peraturan dan prosedur utama berkaitan pengurusan kewangan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2016 Siri 1.

Jabatan dan pejabat yang berkenaan adalah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak; Pejabat Pertanian Daerah Batang Padang Tapah; Pejabat Pertanian Daerah Kerian Parit Buntar; Pejabat Agama Islam Taiping serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Larut Matang dan Selama Taiping.

Turut terlibat ialah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Perak Tengah Seri Iskandar; Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Batang Padang Tapah; Sekolah Izzuddin Shah Ipoh; Jabatan Pertanian Daerah Perak Tengah Seri Iskandar; Pejabat Hutan Daerah Kinta/Manjung/Batu Gajah; Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kelemahan jabatan serta pejabat berkenaan dikesan hasil daripada pengauditan secara mengejut yang dijalankan tahun lalu,” menurut laporan itu yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Laporan itu menyebut, antara kelemahan dikesan termasuk penggunaan panjar wang runcit; kawalan perbelanjaan; setem pos/mesin franking dan peti besi yang tidak digunakan walaupun dibeli.

Selain itu, audit turut menegur kelemahan aspek pelesenan dan penyenggaraan papan iklan luar, binaan struktur papan iklan luar di atas tanah dan rizab kerajaan tanpa Lesen Pendudukan Sementara (LPS).

Menurut laporan itu, kelemahan berkenaan dikesan membabitkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Larit Matang dan Selama, PDT Muallim, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM).

“Pihak terbabit perlu mengeluarkan lesen bagi permohonan yang mematuhi syarat atau mengenakan tindakan penguatkuasaan koordinasi,” menurut laporan.

Audit turut mengesyorkan agar pihak PDT LMS, PDT Muallim, MPT dan MDTM menjalankan aktiviti pemutihan terhadap papan iklan luar yang tiada LPS dan Lesen Pamer. – Bernama