PANGKOR: Kumpulan 11 pelajar dan seorang guru wanita yang diselamatkan selepas terkandas hampir lima jam sesat di Hutan Simpan Kekal Sungai Pinang, Pulau Pangkor di sini didapati membuat expedisi dalam hutan tanpa sebarang kebenaran.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat ketika dihubungi Astro Awani berkata kumpulan pelajar dan guru dari SK Jeram, Selangor itu tidak mendapatkan kelulusan untuk memasukki hutan justeru melanggar peraturan yang perlu bagi mana-mana pihak berhasrat membuat expedisi dalam hutan.

Kata beliau pihaknya menerima panggilan berkenaan insiden tersebut sekitar pukul 9.45 malam dan segera menggerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).

Menurutnya, kesemua mereka dipercayai telah menaiki bukit tersebut di luar daripada waktu persekolahan sebelum ditemui sesat dalam jarak 2 kilometer dari kaki bukit.

Tambahnya, kesemua mereka yang bersekolah dan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, Selangor juga dipercayai tidak mendapatkan sebarang kebenaran untuk melaksanakan aktiviti itu.

“Kami tidak menemui sebarang permohonan daripada sekolah berkenaan untuk menaiki bukit itu namun mujur, semua mangsa ditemui anggota penyelamat dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan, hanya mengalami keletihan dan lesu.

“Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Suhaimi Nijar itu tamat sekitar pukul 3.51 pagi dan kesemua mangsa berjaya dibawa turun dengan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan,”ujarnya lagi.