PASIR GUDANG: Seramai 120 penduduk yang mendakwa kehidupan mereka terjejas akibat pencemaran kimia di kawasan ini bulan lalu, melantik peguam untuk menuntut ganti rugi daripada kerajaan serta pemilik kilang yang bertanggungjawab terhadap bencana itu.

Peguam Kamarudin Ahmad yang mewakili semua penduduk terbabit, berkata pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan kumpulan terbabit dan masih dalam proses mengumpul maklumat lanjut berkaitan kes berkenaan.

“Penduduk yang diwakili memberitahu terjejas kerana mengalami simptom termasuk muntah, sesak nafas dan pengsan dipercayai akibat terhidu gas kimia dalam kejadian berkenaan. Mereka bimbang kesan jangka panjang akibat pencemaran itu.

“Mereka sudah diberi penerangan mengenai hak masing-masing dan asas tuntutan adalah kecuaian pihak berkuasa serta kilang yang terbabit. Kita jangka akan memfailkan tuntutan di mahkamah awal Jun depan.

“Antara yang akan dinamakan sebagai defendan adalah kerajaan negeri, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang. Kita juga sedang mengenal pasti pemilik kilang terbabit untuk dinamakan sebagai defendan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi sekumpulan penduduk membuat laporan polis berkaitan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, tuntutan ganti rugi antara lain membabitkan kos perubatan yang ditanggung mangsa.

Beliau berkata, lebih ramai mangsa dijangka akan memfailkan saman yang sama tidak lama lagi.

Secara keseluruhan, seramai 5,848 kanak-kanak dan orang dewasa dirawat sejak 7 Mac lalu akibat pencemaran sisa beracun di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang – Berita harian