IPOH: Lebih 1,200 guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menglembu di sini mengambil bahagian di dalam Bulan Patriotisme 2017 sempena sambutan kemerdekaan yang ke – 60.

Pelbagai acara disusun sempena sambutan yang bermula 16 Ogos lalu hingga 16 September depan, yang antara lain mendidik warga sekolah menghayati kemerdekaan negara dan memupuk semangat muhibbah dan kerjasama.

IMG-20170825-WA0011

Antara acara itu ialah pertandingan lagu-lagu patriotik, pidato khas dan menghiasi sekolah dengan lukisan dan kraftangan mengenai kemerdekaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu Gajah, Datuk Wira Mohd Yusoff Kassim menyempurnakan majlis perasmian di dewan terbuka sekolah berkenaan pada Jumaat.

IMG-20170825-WA0013

Hadir sama Pengerusi Badan Pengelola SMK Menglembu, Wong Kam Seng, Pengetua, Teng Saw See, Pengerusi PIBG, Leow Wai Wah dan Pengerusi Alumni, Neoh Chee Kheong.

Mohd Yusoff di dalam ucapannya melahirkan rasa bangga kerana berdasarkan pengalamannya, itulah buat pertama kali sebuah sekolah yang mempunyai lebih 85 peratus pelajar kaum Cina mengadakan sambutan hari kemerdekaan dengan begitu meriah.

Beliau mengingatkan para pelajar supaya terus mengekalkan semangat perpaduan dan kebersamaan yang telah menjadi pencetus kepada kejayaan negara memperolehi kemerdekaan daripada British, 60 tahun lalu.

IMG-20170825-WA0010

“Dulu, orang Melayu, Cina dan India bersatu menuntut kemerdekaan, oleh itu, marilah kita bersama-sama terus bersatu untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang telah kita nikmati sejak merdeka,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 untuk tabung sekolah tersebut.