IPOH: Seramai 1,211 peserta telah mengesahkan untuk mengambil bahagian di dalam Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa UPSI bagi merebut Piala Pusingan Menteri Besar Perak di Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah pada 7 – 12 Mac ini.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, peserta terdiri daripada kategori terbuka (292), institusi pengajian tinggi (590) dan remaja (329).

Menurut beliau, penganjuran tahun kelapan itu turut menyaksikan pengenalan kategori baru untuk remaja selepas mendapat restu daripada Kementerian Pendidikan bagi membolehkan pelajar sekolah menengah mengambil bahagian.

“Sebanyak 91 pasukan telah mengesahkan untuk mengambil bahagian, termasuk daripada Indonesia dan Singapura, berbanding hanya 88 pasukan tahun lalu,” katanya pada sidang media sempena penyerahan Piala Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Ketiga-tiga kategori menawarkan Piala Pusingan Menteri Besar di samping hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM7,500.

Zainol memberitahu, sebanyak 42 acara silat olahraga dan silat seni akan dipertandingkan sepanjang kejohanan itu.