IPOH: Sebanyak 126 kes jangkitan malaria dikesan di penempatan Orang Asli di Pos Kemar, Gerik setakat Selasa lalu.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, daripada jumlah itu, pesakit yang berada di Hospital Gerik adalah seramai 23 orang, empat di Hospital Kuala Kangsar dan seorang di Hospital Sungai Siput.

Selain itu, ujarnya, lapan pesakit dalam proses penghantaran ke Hospital Gerik manakala masing-masing dua dan 50 menerima rawatan di kampung dan Asrama Sri Didik Sekolah Menengah Kebangsaan Idris Shah II di Gerik.

“Bakinya telah dibenarkan pulang tetapi masih menerima rawatan di kampung,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut Dr Juita, kesemua pesakit yang dijangkiti wabak itu berumur antara lapan bulan dan 60 tahun.

Beliau berkata, pegawai kesihatan negeri dan daerah dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menjalankan aktiviti pemeriksaan larva dan pencegahan larva di Kampung Badak dan Kampung Ralak di Gerik.

Katanya, hasil daripada pemeriksaan tersebut mendapati ada pembiakan larva positif di Kampung Ralak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam dalam satu program di Melaka hari ini berkata, wabak malaria di negara ini dijangka dapat dikawal sepenuhnya dalam masa terdekat jika ada kerjasama daripada masyarakat melalui aktiviti kawalan serta pencegahan.

Beliau berkata keupayaan untuk mengawal penularan wabak berkenaan sangat tinggi berikutan penyakit itu boleh dirawat dengan ubat antimalaria berbanding tiada ubat khusus untuk rawatan bagi penyakit denggi.