IPOH: Sebanyak 12,668 kelulusan Lesen Menduduki Sementara (TOL) telah diluluskan dari tahun 2012 sehingga kini yang melibatkan semua daerah di negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, daripada jumlah itu, 5,553 diluluskan kepada orang Melayu; 6,180 kepada orang Cina dan 915 kepada India yang melibatkan kira-kira empat juta hektar (10 juta ekar).

Menurut beliau, kerajaan sentiasa membuka ruang untuk rakyat memiliki tanah di bawah program Rancangan Perkampungan Tersususun (RPT) dan Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB).

“Justeru sekiranya kerajaanmengenalpasti tanah-tanah kerajaanyang sesuai untuk dibangunkan dengan RPT dan RPB maka hal ini akandilaksanakan mengikut kemampuan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Mohd Akmal Kamarudin (PAS – Selama) di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Menjawab soalan wakil yang sama, Ahmad Faizal berkata, kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) sedang giat membangunkan Rumah Perakku di seluruh negeri, termasuklah di kawasan luar bandar.

Beliau memberitahu, pada masa ini, kerajaan negeri sedang mengenal pasti dan mendapatkan tanah yang berdaya maju dan mempunyai daya ekonomi (economic of scale) untuk dibangunkan rumah kos rendah dan mampu milik secara silang subsidi.

“Pelan strategik yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam membangunkan perumahan di sesebuah kawasan adalah berdasarkan permintaan dan pertumbuhan penduduk di sesuatu kawasan dan daerah,” ujarnya.

Di samping itu, katanya, serajaan negeri juga akan menyelaras dan mengintegrasikan penglibatan agensi-agensi kerajaan untuk membina lebih banyak rumah pada harga di bawah RM100,000 khusus untuk golongan B40 yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3,000.

Menurutnya, pihak kerajaan sedar akan kesukaran yang dialami mereka yang tidak berpendapatan tetap dalam mendapatkan kemudahan kewangan bagi membeli rumah kediaman mereka.

Tambahnya, bagi mengatasi kesukaran tersebut, kerajaan melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP Berhad) akan memberi jaminan kemudahan kewangan yang akan diberikan oleh panel institusi kewangan.

Panel-panel itu ialah Bank Islam Malaysia Berhad; Bank Simpanan Nasional Berhad; Bank Rakyat Berhad; Alliance Bank Berhad; Maybank Berhad; Ambank Berhad; Affin Bank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad.

Selain itu, kata beliau, belanjawan kerajaan Persekutuan 2019 yang diumumkan baru-baru ini turut memberi pelbagaiinisiatif dan kemudahan berkaitan pemilikan rumah.

Beliau memberitahu, antaranya ialah memudahkan pembeli rumah membuat pinjaman perumahan melalui dana berjumlah RM1 bilion di bank-bank terpilih dan memberi pengecualian duti setem, memanjangkan tempoh pembiayaan serta membenarkan platform penjanaan dana masyarakat (property crowdfunding).

“Kesemua ini akan memudahkan pembiayaan pemilikan rumah dan mampu dimiliki oleh rakyat terutama golongan berpendapatan B40,” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan Dr Ko Chung Sen (DAP – Kepayang), Menteri Besar memberitahu, kerajaan negeri sentiasa mengenalpasti tanah untuk dibuka dan diberi kepada petani dan pekebun kecil.