KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili melupuskan 128,000 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM280,000, di sini, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan, berkata proses pelupusan yang dilakukan pagi tadi dijalankan dengan kerjasama Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dengan kaedah membakar semua rokok terbabit.

Katanya, proses melupuskan rokok seludup dijalankan selepas pihaknya mendapat perintah lucuthak yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi.

“Semua rokok terbabit adalah hasil tangkapan dan rampasan Zon Maritim Tanjung Sedili pada awal tahun ini dan disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya, hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, peningkatan rokok tidak sah di pasaran menunjukkan kemasukan rokok ini secara haram terutama melalui jalan laut.

Sehubungan itu katanya, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan operasi bagi mengekang aktiviti penyeludupan terutama di perairan Johor.

“Kita mahu membetulkan tanggapan orang ramai kononnya rokok yang dirampas diedarkan semula ke pasaran tempatan“, katanya – berita harian