ALOR PONGSU – Sebanyak 13 bengkel automatif sekitar Kerian telah menerima manfaat Projek Pemodenan Bengkel Automotif (ATOM) yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivi negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, melalui projek ATOM, pengusaha bengkel terlibat yang khusus dalam perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan automatif, berjaya meningkatkan pendapatan kepada sekitar RM40,000 sebulan.

 

Beliau berpendapat, progam itu amat baik bagi meningkatkan lagi dan mentranformasikan bengkel-bengkel yang dipunyai golongan bumiputera.

“Saya percaya, sekiranya kita mahu pengusaha-pengusaha maju khususnya di dalam bidang automatif ini, mereka perlukan pembiayaan begini bagi mempelbagaikan lagi perkhidmatan yang ditawarkan melalui pembelian mesin-mesin baru,” katanya pada Suara Perak selepas merasmikan bengkel Zacky di Tanah Kebun, Parit Buntar pada Rabu.

Program itu merupakan salah satu program di bawah portfolio Samsudin dalam Program Pemukiman YAB Menteri Besar di Daerah Kerian yang berlangsung dari 17 hingga 20 Mei.

Samsudin memberithau, Zacky Workshop telah menerima RM100,000 pembiayaan pinjaman dari projek ATOM untuk mempertingkatkan perniagaannya.

Misi ATOM adalah untuk membangunkan bengkel automotif mejadi pakar dalam perkhidmatan melalui pembiayaan bagi pengubahsuaian bengkel, pembelian mesin atau perlatan dan modal kerja.