KUALA KURAU – Demi membanteras dadah, 13 kampung di Mukim Kuala Kurau berganding bahu melaksanakan program Malam Ikon Perangi Dadah Habis-habisan pada jam 9 malam, 18 Februari ini bertempat di tapak pasar malam Pekan Kuala Kurau, di sini.

Kerjasama jitu itu diketuai kesemua 13 pengerusi JKKK kampung terlibat di samping sokongan Penghulu Mukim Kuala Kurau, Abdullah Yusof, Pemadam Kerian, Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK) Kerian dan Kawasan Rukun Tetangga(KRT).

Ahli Jawatankuasa Pemulihan Dadah AADK Kerian, Nizam Ramli berkata, program sebegini julung kali dianjurkan di Perak dan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat setempat terhadap kepentingan memerangi najis dadah habis-habisan di kawasan masing-masing.

Berkonsepkan hiburan berinformatif secara santai, Nizam mendedahkan program ini mengalakkan penglibatan masyarakat dalam membanteras najis dadah secara menyeluruh, termasuk mengenal pasti ‘lubuk’ dan individu berpotensi menjadi penagih.

edf
edf

“Konsep penyampaian program juga unik apabila pengunjung bakal dihiburkan dengan celoteh bual bicara santai daripada Kumpulan Anak Malaysia(AM Group) yang bakal mengacarakan program itu.

“Selain itu, pengunjung bakal dihiburkan dengan aksi hebat dua kumpulan kugiran ternama daerah Kerian, Suara Gunung dan D’ Rahmat Group di samping persembahan multimedia dan gimik persembahan khas pasukan polis dari sedutan teledrama ‘Kriminal’,”katanya kepada media pada majlis mempromosi program Malam Ikon Perangi Dadah Habis-habisan Peringkat Daerah Kerian di sini semalam.

Nizam berkata, paling menarik, program ini turut mengetengahkan luahan seorang bekas penagih dadah yang sukarela mahu berkongsikan kisah hidupnya yang perit dan menyedihkan gara-gara terjebak dadah.

“Kesemua pengisian diatur amat penting bagi membuka mata masyarakat terhadap impak sebenar dadah terhadap diri penagih, keluarganya, masyarakat dan masa hadapannya sendiri.

“Pada masa sama, kita hendak mengajak masyarakat lebih bersikap positif terhadap bekas penagih yang sudah menjalani rawatan pemulihan dadah dan menggalakkan mereka bersama-sama terlibat aktiviti bermasyarakat, bukan terus dipinggirkan,”katanya.

Nizam turut memuji kesungguhan 13 pemimpin JKKK kampung di Mukim Kuala Kurau yang bertungkus-lumus membantu menjayakan kelancaran program ini.

“Kita berharap usaha positif pemimpin setempat terlibat dapat merapatkan jurang perhubungan dengan golongan muda di setiap kampung supaya dua generasi itu akan berganding-bahu membanteras sebarang kegiatan dadah di kampung masing-masing,”katanya.