IPOH– Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terpilih menerima Geran Projek Komuniti NGO berjumlah RM 90,600 hari ini berupaya membawa pertubuhan ke peringkat lebih tinggi, di samping mencipta kisah kejayaan kepada kumpulan sasar.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan, sudah tiba masanya NGO di negeri ini mendapat pendedahan praktikal di lapangan menerusi Projek Komuniti NGO.

“Segala latihan kemahiran diatur oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) terutama dari segi soft skill, pengurusan mahu pun pengucapan awam, kerana ia penting bagi semua badan NGO dan tidak boleh beranggapan apabila ditubuhkan NGO maka mereka boleh buat sesuka hati.

“NGO perlu bersikap proaktif dan harus bijak menyambar peluang yang disediakan oleh Kerajaan Negeri, saya berharap lebih ramai NGO dari luar bandar mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Replika Cek kepada wakil NGO di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Dalam majlis itu sebanyak 12 pertubuhan terpilih untuk menerima Geran Projek Komuniti NGO dengan jumlah keseluruhan RM 90,600, di mana setiap permohonan dinilai oleh panel pakar.

Ujar Samsudin, pemberian geran itu memasuki tahun kedua dilaksanakan menerusi permohonan yang bermula 13 Julai hingga 13 Oktober 2017, selain melibatkan 31 kertas kerja.

Antara pertubuhan yang menerima geran tersebut ialah Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia;Persatuan Pendidikan dan Rehabilitasi, OKU, Ibu Tunggal /Warga Emas, Pergerakan Puteri Islam Perak dan Persatuan Penduduk Taman Chepor Impian.