KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan syabas kepada ahli Parlimen yang komited bersidang selama 20 hari di Dewan Rakyat baru-baru ini, yang menyaksikan sebanyak 13 Rang Undang-Undang (RUU) dibentang dan diluluskan.

Perdana menteri berkata, sesi Parlimen itu dilihat amat produktif dan bermakna kerana ahli Parlimen BN mendengar denyut nadi dan keperluan rakyat.

“Selama 20 hari itu, banyak perkara telah dibahaskan dan sejumlah 13 Rang Undang-Undang telah dibentangkan dan menerima kelulusan daripada Yang Berhormat sekalian.

“Antaranya, ada tiga Rang Undang-Undang yang amat penting dan dekat di hati saya, apa yang saya sifatkan sebagai ‘Rakyat Didahulukan’,” katanya dalam catatan di blognya www.najibrazak.com hari ini.

Tiga RUU itu ialah Rang Undang-undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017 dan Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016.

Mengulas lanjut mengenai Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Najib berkata ia akan dikuatkuasakan bagi memerangi jenayah penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia.

“Saya berasa sedih bercampur marah apabila membaca statistik bahawa lebih 12,000 kes penderaan seksual kanak-kanak telah dilaporkan.

“Kini, mereka yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan dan akan dikenakan hukuman berat, berdasarkan jenis kesalahan yang disabit. Ada yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun,” katanya.

Beliau berkata selain hukuman, rakyat juga perlu dididik terutamanya anak-anak agar mereka tahu teknik pencegahan dan menjaga keselamatan diri, hak mereka dari segi undang-undang, perlindungan yang diberikan, bantuan yang disediakan dan sebagainya.

Katanya, inisiatif itu akan diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Bagi Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017, perdana menteri berkata kerajaan telah menjadikan hukuman penjara serta hukuman sebat sebagai hukuman mandatori bagi kesalahan menyebabkan kecederaan dan jenayah seksual seperti rogol, sumbang mahram, kesalahan merangsang kanak-kanak dan sebagainya.

Najib berkata, pindaan itu meluas dan merangkumi kesalahan seksual terhadap masyarakat secara umum, bukan sahaja kanak-kanak dan tidak ada ruang kompromi atau belas kasihan terhadap pesalah laku.

“Kita akan melindungi mangsa keganasan domestik, kanak-kanak serta anggota-anggota keluarga daripada pemangsa,” katanya.

Bagi Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016, Najib berkata ia  akan memberi peluang kedua kepada individu yang pernah diisytiharkan bankrap.

“Kerajaan memperjuangkan bukan sahaja nasib dan kebajikan individu yang telah diisytihar muflis kerana hukuman dahulu seolah-olah mereka dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dari segi kewangan dan ekonomi, malah juga telah mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh penjamin yang teraniaya akibat menanggung beban orang yang berhutang”.

“Saya ambil peluang ini untuk mengucapkan syabas kepada semua wakil rakyat Barisan Nasional kerana mendengar denyut nadi dan keperluan rakyat. Teruskan usaha!,” katanya.

Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 itu bermula 6 Mac hingga 6 April lalu. – Bernama