BERA: DAP menerima tamparan hebat apabila 130 ahlinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Triang dekat sini, hari ini, bertindak keluar parti termasuk tujuh Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian Bera, hari ini.

Bekas Naib Ketua Pemuda DAP Bera, Kang Chun Chen, 30, yang mengetuai peletakan jawatan serta tindakan keluar parti itu berkata, mereka secara terbuka menyatakan sokongan kepada BN dan akan membantu kemenangan parti berkenaan di semua kerusi dipertandingkan.

“Kami tidak berpuas hati dengan tindakan calon DAP Dewan Undangan Negeri (DUN) Triang, Leong Yu Man yang dilihat mempunyai kepentingan peribadi dalam menerajui jentera parti itu.

“Dia tidak menghargai penat lelah serta usaha jentera parti membantunya berkempen, malah dia tidak menghulurkan sebarang dana kepada pekerja jentera.

“Yu Man tidak pernah turun padang mengambil berat mengenai kami, malah dia juga ada kepentingan sendiri dalam berpolitik dengan meletakkan ahli keluarganya dalam senarai jawatankuasa tertinggi DAP DUN Triang.

“Saya dan jentera berpenat lelah menyediakan pelbagai kelengkapan berkempen menggunakan duit sendiri namun, dia dan keluarganya yang mendapat nama,” katanya pada sidang media di sebuah restoran dekat sini, hari ini.

Chun Chen juga turut mengakui selama ini BN banyak membantu masyarakat Cina di Triang meskipun kerusi DUN di situ disandang DAP selama lebih lima penggal.

Selain itu, Chun Chen memberitahu, keputusan mereka dibuat berikutan ramai dalam kalangan ahli DAP tidak berpuas hati dengan penggunaan logo PKR bagi mewakili DAP pada PRU kali ini.

Katanya, sebagai parti yang sudah diwujudkan lebih lama berbanding PKR, tidak sepatutnya tunduk dengan keputusan dicadangkan kepimpinan Pakatan Harapan Pahang itu.

“Jumlah kami hari ini, tidak ramai, nmun saya percaya akan lebih ramai akan mengikuti jejak langkah untuk menyokong BN kerana hanya BN yang mampu tolong rakyat di Bera bukan DAP,” katanya – berita harian