PELABUHAN KLANG: Kedutaan Indonesia di Malaysia meminta semua warga republik itu yang pulang beraya menggunakan perkhidmatan feri tidak membawa barangan berlebihan.

Nasihat itu untuk memastikan kelancaran perjalanan mereka pulang ke negara asal.

Ia berikutan insiden feri di Pelabuhan Melaka yang terkandas seketika, baru-baru ini, akibat penumpang membawa muatan berlebihan, antaranya barangan elektrik, perkakas dapur dan makanan.

Setakat ini, lebih 100,000 rakyat Indonesia yang bekerja di negara ini pulang ke kampung halaman masing-masing melalui 12 pelabuhan utama termasuk di Sabah.

Pegawai Atase Perhubungan (Transport) kedutaan itu, Mochamad Abduh, berkata pemerhatian pihaknya mendapati proses berkaitan di semua pelabuhan berkenaan berjalan lancar kecuali di Melaka.

“Kami difahamkan masalah di pelabuhan itu timbul akibat ‘overload’ iaitu tindakan penumpang membawa muatan berlebihan untuk pulang ke kampung.

“Justeru, kedutaan menasihatkan mereka hanya membawa barangan perlu bagi mengelak insiden sama berulang sehingga menyebabkan feri dinaiki terkandas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui NSTP selepas Majlis Sumbangan Bubur Lambuk dan Buah Kurma di Terminal Penumpang dan Feri Antarabangsa Asa Niaga Harbour City di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Asa Niaga, Datuk Shaari Mat Jirin.

Pada program itu, lebih 1,000 bungkusan diagihkan kepada kakitangan agensi kerajaan dan penumpang warga Indonesia.

Mochamad berkata, pihaknya menjangkakan seramai 130,000 warga republik itu akan pulang beraya pada Aidilfitri kali ini dengan menggunakan laluan laut antaranya menuju ke Kalimantan Utara, Tanjung Balai, Pulau Batam, Dumai dan Bengkalis.

“Jumlah itu mencatatkan penurunan berbanding 150,000 pada tahun lalu berikutan faktor ada yang menggunakan laluan udara menggunakan kapal terbang,” katanya.

Sementara itu, Shaari berkata, semakan pihaknya mendapati lebih 35,000 penumpang menggunakan perkhidmatan feri di terminal berkenaan dalam tempoh seminggu dan berjalan mengikut jadual ditetapkan.

“Jumlah itu dijangka semakin bertambah hari ini dan esok sehingga kami perlu menambah beberapa lagi feri untuk semua penumpang berkenaan,” katanya memaklumkan pihaknya menerima seramai 5,000 penumpang setiap hari.

Sementara itu, penumpang, Suparno Dukut, 45, dari Tanjung Balai Asahan berkata, dia hanya membawa barangan perlu, terutama pakaian untuk pulang beraya menyambut Aidilfitri.

“Saya setakat ini belum pernah terkandas ketika menaiki feri dan berharap perkara seumpama itu tidak berlaku kerana membuang masa penumpang lain,” katanya yang bekerja sebagai buruh kontrak di Malaysia, sejak lapan tahun lalu – berita harian