GEORGETOWN: Polis menahan 14 individu di dua lokasi kerana merusuh dan menghalang kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan, berkata berlaku tiga kejadian di Jelutong dan Bukit Minyak yang mana beberapa individu bertindak menghalang kakitangan SPR membawa peti undi masuk ke pusat penjumlahan.

Katanya, semua yang ditahan berusia antara 21 hingga 51 tahun dan mereka direman antara dua hingga empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147, 186 dan 427 Kanun Keseksaan.

“Walaupun kes ini dianggap kecil, namun ia menyebabkan gangguan di dua kawasan terbabit menyebabkan polis terpaksa menahan mereka.

“Selain itu, terdapat 44 laporan dibuat dengan 30 daripadanya membabitkan laporan ke atas SPR,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Difahamkan, 30 laporan membabitkan SPR adalah berkaitan dakwaan pengundi dihalang membuang undi di pusat pengundian masing-masing selepas nama mereka didapati sudah membuang undi.

Thaiveegan berkata, pihaknya akan menyiasat kemungkinan berlaku pengundi menyamar dan membuang undi bagi pihak lain selain penyamaran menggunakan kad pengenalan.

“Kita akan rujuk kes ini ke SPR bagi membolehkan siasatan dilakukan pihak terbabit dan kita juga akan membantu melakukan siasatan.

“Sejumlah 21 kertas siasatan sudah dibuka dan kita belum lagi menerima arahan menamatkan langkah kawalan ketat sepanjang PRU-14 berlangsung sehingga Ketua Menteri baharu mengangkat sumpah,” katanya – berita harian