IPOH – Seramai 14 GRO warga asing dan 13 warga tempatan telah ditahan dalam Op Mega 3.0 Imigresen yang dijalankan di sebuah premis karaoke yang terletak di Jalan Canning Estate, di sini pada awal pagi Khamis.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata ketika serbuan dibuat, lapan wanita warga China dan enam wanita warga Vietnam itu dijumpai dalam keadaan berhimpit di dalam sebuah bilik rahsia di dalam premis berkenaan.

Menurut beliau, kesemua wanita itu dipercaya disorokkan oleh tuan premis berkenaan di dalam sebuah bilik rahsia di sebalik panel suis elektrik.

“Bayangkan mereka ini disorokkan dalam satu ruang yang sangat kecil di belakang panel elektrik, mereka atau pegawai Imigresen senang-senang boleh kena renjatan elektrik.

“Selain pendatang tanpa izin yang bekerja di tempat persundalan ini, majikan dan pelindung mereka akan kita buru sampai dapat,” katanya ditemui ketika operasi berkenaan dijalankan awal pagi Khamis.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kesemua wanita itu didapati telah menyalahgunakan pas lawatan sosial manakala 13 warga tempatan yang bekerja sebagai pelayan bar di pusat karaoke itu pula ditahan atas pelbagai kesalahan.

Difahamkan pintu bilik rahsia di sebalik panel suis elektrik itu telah diubah suai bagi membolehkan mereka masuk dan bersembunyi apabila menerima isyarat daripada penjaga atau tonto jika diperiksa oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Mustafar berkata, dalam operasi itu pihaknya telah menahan seramai 74 pendatang izin dan 21 warga tempatan dipercayai majikan yang cuba melindungin pendatang berkenaan.

Katanya operasi telah dibuat ke atas gerai menjual air, kedai gunting rambut, pusat reflexology, hotel, pusat hiburan dan kilang.

Tambah beliau kesemua ditahan kini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Anti Pemerdagagan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.